Program ‘pantai angkat’ pacu pelancongan Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 9 November – Pantai-pantai di Tanjung Bidara dicadang akan dijadikan ‘pantai angkat’ bagi institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Masjid Tanah.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, idea itu diangkat bagi membolehkan pantai peranginan di kawasan itu dapat dijaga sebaik mungkin dalam usaha memacu pelancongan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, lebih 10 IPT di Masjid Tanah yang dilantik akan digerakkan setiap satu hingga tiga bulan, bagi menjalankan aktiviti kesukarelawanan seperti gotong-royong membersihkan pantai dan sebagainya.

“Saya mencetuskan idea supaya sepanjang pantai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara diwujudkan pantai angkat kepada IPT di setiap 500 meter hingga satu kilometer (km) kawasan pantai.

“Ini bertujuan untuk mengekalkan Tanjung Bidara sebagai lokasi tarikan pelancongan yang bersih dan menjadi antara pantai peranginan terbaik di Melaka yang perlu dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program DUN Tanjung Bidara Beach Clean Up di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka Yeow Chin Chai, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka Sa’ari Basiron dan Timbalan Pengarah Perikanan Negeri Melaka Nawar Abd Karim.

photo_2022-11-09_12-44-40
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Program @Dun Tanjung Bidara Beach Clean Up di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Pada majlis itu, Ab Rauf turut menyempurnakan pelepasan 300 ekor anak penyu kembali ke lautan bagi tujuan pemuliharaan spesies berkenaan.

Jelas Ab Rauf, menerusi program kesukarelawanan dan pembersihan yang dijalankan secara berkala, kadar pendaratan penyu ke Pantai Padang Kemunting untuk bertelur menunjukkan peningkatan tahun ini.

Menurutnya, jumlah pendaratan penyu yang tertinggi direkodkan ialah pada bulan April dan November setiap tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2676
Kongsi :
Previous post Jaga kesihatan ketika kempen elak COVID-19 – Exco
Next post PRU15: Anak muda bantu lancarkan gerak kerja BN Melaka
Ubah saiz-+=