Promosi Jom Golf ke Melaka dijangka raih RM2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 11 Julai – Melaka yakin mampu meraih lebih RM2 juta dalam tempoh enam bulan sehingga penghujung tahun ini menerusi program Jom Golf ke Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, beliau dimaklumkan program berkenaan menawarkan promosi hebat dengan satu kadar harga bagi enam kelab golf di negeri ini.

Katanya, promosi yang ditetapkan adalah menerusi harga standard yang dikenakan sehingga 31 Disember ini iaitu sebanyak RM75 bagi ahli kelab golf negeri manakala RM98 bukan ahli.

“Lebih menarik lagi, pemain golf dari luar Melaka juga dapat bermain di mana-mana lapangan pilihan hati, dengan kadar satu harga yang cukup kompetitif dibandingkan dengan harga di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika melancarkan program Jom Golf ke Melaka di Tiara Melaka Golf and Country Club, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Pengerusi Jawantankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman.

Sulaiman berkata, peningkatan bilangan pemain akan dinikmati oleh lima kelab yang mengambil bahagian iaitu Ayer Keroh Country Club (AKCC); Jasin Heritage Golf Club (JHGC); Orna Golf and Country Club (ORNA); Tiara Melaka Golf and Country Club dan A’Famosa Golf and Country Club.

Menurutnya, dianggarkan 1000 pemain akan menggunakan pakej ini selama sebulan, bermakna 6,000 pemain dijangka turut serta hingga akhir tahun.

“Ini akan memberikan pulangan langsung sehingga RM500 ribu.

“Ditambah pula dengan pengunjung dari luar yang lazimnya akan bermain dan bermalam dengan membawa keluarga masing- masing, promosi ini akan berjaya meraih dan menjana pendapatan lebih RM2 juta bagi tempoh 6 bulan promosi ini,” katanya.

Mengenai program berkenaan, lebih 400 pemain golf yang terdiri daripada ahli kelab golf negeri menyertai acara pra-pertandingan Golf Melaka 750 yang diadakan setiap tahun.

Views:

320
Kongsi :
Previous post Kewangan halangan utama ibu bapa miliki ramai anak
Next post Covid-19: Satu kematian dicatatkan, lapan kes baharu dilaporkan
Ubah saiz-+=