Covid-19: Satu kematian dicatatkan, lapan kes baharu dilaporkan

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 11 Julai – Setelah 25 hari berturut-turut tanpa merekodkan kematian, Malaysia kembali mencatatkan satu kes kematian COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat wabak itu 122 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian itu membabitkan seorang lelaki tempatan bermumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, lelaki itu telah mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai dan kemudiannya ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai.

“Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif COVID-19. Beliau kemudiannya disahkan positif COVID-19, kesihatan beliau terus merudum dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan telah disahkan meninggal dunia pada 5.49 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, daripada lapan kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat adalah kes penularan di dalam negara dengan dua kes dalam kalangan warganegara dan dua lagi kes adalah bukan warganegara, yang seterusnya menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,704.

“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warganegara melibatkan satu kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, dan satu kes saringan di Sabah bagi kes yang dirujuk ke hospital.

Bagi kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara pula, melibatkan dua kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang apabila kedua-dua kes ini disaring semula sebelum proses penghantaran pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata, empat kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, kesemuanya warga tempatan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 67 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat empat kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah didiscaj daripada wad adalah 8,515 kes atau 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga semalam , sebanyak 60,952 sampel pra pembedahan telah diambil dan daripada jumlah itu, 21 kes didapati positif COVID-19 (dengan kadar positif adalah 0.03 peratus).

Katanya peratusan kes positif kekal rendah meskipun jumlah persampelan yang tinggi menunjukkan penularan COVID-19 adalah terkawal di dalam negara.

“Persampelan pra pembedahan merupakan satu daripada sistem survelan yang dijalankan di Malaysia. Ia bertujuan mengesan awal jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti dan seterusnya memberi amaran awal kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk bertindak.

“Survelan ini dijalankan ke atas populasi yang besar dan ia meliputi lapisan masyarakat yang tidak bergejala. Individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital KKM perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata sistem survelan yang dinamik ini merupakan kaedah sesuai untuk menggambarkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana ia meliputi semua kelompok masyarakat dan dilaksanakan ke atas individu-individu yang tidak bergejala.

– BERNAMA

Views:

411
Kongsi :
Previous post Promosi Jom Golf ke Melaka dijangka raih RM2 juta
Next post Tambah buku rekod kehadiran selepas lebih 10,000 pengunjung banjiri Jalan Jonker setiap hujung minggu
Ubah saiz-+=