Sorting by

×

PROMOSI MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN WARISAN, HAB PENDIDIKAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 3 Mei – Penganjuran Malaysia Expo 2025 di Jeddah, Arab Saudi dimanfaatkan Kerajaan Negeri menerusi Tourism Melaka, untuk mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan warisan dan Budaya serta hab pendidikan bertaraf antarabangsa.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata,  penganjuran sama turut menjadi medium untuk memperkukuh pelaksanaan kempen Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025), Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Katanya, kesempatan itu juga digunakan untuk memperluas jalinan kerjasama strategik dalam bidang pelancongan dan pendidikan.

“Program ini turut diadakan bersempena dengan Yes2Malaysia Education Malaysia Info Day 2025, satu inisiatif tahunan anjuran Rexpo Malaysia yang bertujuan mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia kepada pelajar antarabangsa, khususnya dari negara-negara Teluk.

“Sejak mula diperkenalkan lebih sedekad lalu, program ini telah membuka laluan kepada ribuan pelajar dari rantau tersebut untuk menyambung pengajian di Malaysia,” kata Abdul Razak menerusi hantaran di Facebook Rasmi beliau, hari ini.

Terdahulu majlis pembukaan rasmi Malaysia Expo 2025 berlangsung di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong  King Sing, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P Manoharan.

Mengulas lanjut  Abdul Razak berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi dari Melaka turut serta dalam edisi Yes2Malaysia akan datang, sekali gus memanfaatkan potensi besar pasaran Timur Tengah dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan utama pelancongan serta pendidikan di peringkat global.

“Pada tahun ini, Yes2Malaysia menganjurkan dua siri pameran di Jeddah serta beberapa bandar utama lain di rantau Teluk seperti Riyadh, Doha dan Muscat.

“Penyertaan institusi pendidikan seperti Universiti Multimedia (MMU) dan UNITAR International University yang turut berada di Negeri Melaka, warga Jeddah berpeluang mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di Melaka yang kini muncul sebagai antara pusat pendidikan antarabangsa yang pesat berkembang di Malaysia.

“Sambutan hangat daripada masyarakat negara-negara Teluk membuktikan potensi besar Melaka dalam menarik pelajar luar negara sejak berpuluh tahun yang lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2549
Kongsi :
Previous post POLIS SIASAT KES KEHILANGAN WANITA SEBELUM SEMPAT HADIR KE PEJABAT SPRM
Next post MALAYSIA MIDNIGHT SALE MERIAH