PRU15: MB Perak menghadap Sultan Nazrin mohon perkenan bubar DUN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

IPOH, 12 Okt – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mempersembahkan hasrat berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenderaan rasmi yang membawa Saarani kelihatan memasuki Istana Kinta di sini, pada kira-kira 2.08 petang.

Sebelum itu, turut kelihatan kenderaan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Azmir Shah Zainal Abidin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim memasuki kawasan istana berkenaan.

Saarani ketika ditemui pada satu majlis di Bagan Serai semalam memaklumkan beliau telah mendapat perkenan menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan DUN Perak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Okt untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Perdana Menteri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor agar mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing, bagi membolehkan pilihan raya negeri dan parlimen diadakan serentak.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Perak kini terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), DAP (15), Amanah (lima), Bersatu (empat), PAS (tiga), PKR (tiga), PBM (tiga) dan Bebas (satu).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2113
Kongsi :
Previous post Karnival Kerjaya Jelajah AKM tawar 5,000 peluang pekerjaan
Next post Pemandu lori didenda RM3,000 pukul adik ipar
Ubah saiz-+=