Pusat riadah sukan perlu daftar kebenaran operasi

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Kerajaan negeri menyeru agar semua pengusaha pusat riadah sukan untuk mendaftar kebenaran beroperasi dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta menyediakan aplikasi MySejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, aktiviti sukan seperti badminton dan futsal antara sukan yang menjadi pilihan ramai dan semestinya gelanggang kedua-dua aktiviti ini menjadi tumpuan selepas lebih tiga bulan terpaksa ditangguhkan ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Oleh itu, semua pengusaha premis digalakkan untuk menyediakan aplikasi MySejahtera bagi merekodkan kehadiran pelanggan ke pusat riadah sukan.

“Setakat ini hanya kira- kira 70 premis yang sudah berdaftar dengan [email protected] dan diharap lebih ramai yang berbuat demikian.

“Ia sekaligus bagi memperoleh kebenaran bertulis daripada kerajaan untuk kembali beroperasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua sukan sudah dibenarkan beroperasi bermula 6 Julai lalu kecuali yang membabitkan sentuhan serta pertandingan melebihi 250 penyertaan.

“Bagaimanapun bagi aktiviti rekreasi air ia tertakluk kepada kelulusan peraturan premis selain, kanak-kanak 12 tahun perlu pengawasan ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan pelantikan baharu Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka yang didahului Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Seri Dr Hasim Hasan sebagai Timbalan Pengerusi I dan Dr Yadzil Yaakub, Timbalan Pengerusi II.

Manakala, turut dilantik empat wakil persatuan sebagai ahli majlis baharu iaitu Presiden Persatuan Renang Amatur Melaka, Datuk Nawawi Reduan; Naib Presiden Persatuan Badminton Melaka, Dr Senasi Annamalai; Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Rogayah Mohamad dan Setiausaha Kehormat Persatuan Skuasy Melaka, Shirzli Imri Mohd Hayaha.

Views:

531
Kongsi :
Previous post Menteri Agama sumbang RM5,000 baiki Masjid Al-Hilal Pantai Rombang
Next post Atlet SUKMA Melaka terima lampu hijau
Ubah saiz-+=