Ramadan lebih bermakna di DUN Pantai Kundor

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 30 Mac – Pelbagai perancangan dan aktiviti direncanakan sepanjang Ramadan tahun ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hasim berkata bulan Ramadan tahun ini lebih bermakna apabila lebih banyak kelonggaran diberikan berbanding tempoh pandemik lalu.

Justeru, katanya, pelbagai aktiviti dan perancangan dapat dilakukan termasuklah mengimarahkan kesucian bulan yang mulia bagi umat Islam itu.

SUMBANGAN MASJID, SURAU

Jelas Tuminah atau mesra disapa Kak Ina, bersempena Ramadan ini, beliau bersama warga kerja Japerun sudah mula menggerakkan aktiviti kebajikan kepada institusi keagamaan melalui penyampaian sumbangan ke masjid-masjid dan surau.

Menurutnya, di DUN Pantai Kundor terdapat sembilan buah masjid dan 22 surau.

Antara sumbangan yang telah diagihkan ialah penyerahan air mineral dan kurma kepada kesemua masjid dan surau bagi aktiviti berbuka puasa tahun ini.

“Kita mengagihkan 310 kilogram (kg) kurma dan 310 katon air mineral yang mana setiap masjid dan surau akan menerima 10 kg kurma dan 10 karton air mineral.

“Selain itu, kita juga akan menyokong segala aktiviti dan perancangan masjid serta surau sempena Ramadan.

“Untuk itu kita menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di bawah DUN Pantai Kundor,” katanya.

BUBUR LAMBUK DAN KACAU DODOL MEGA

Mengulas lanjut Tuminah berkata, bagi menyemarakkan lagi suasana bulan mulia ini, pihaknya juga akan menerusi acara tahunan iaitu memasak bubur dan mengacau dodol mega pada Ramadan ini.

Katanya, program memasak dan mengagihkan bubur lambuk akan diadakan pada 8 April depan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta swasta.

“Ia termasuklah membabitkan balai polis, klinik kesihatan, Tanjung Bruas Port dan Petronas.

“Pada program itu nanti, kita jangka akan agihkan lebih 1,000 bekas bubur lambuk secara pandu lalu kepada warga DUN Pantai Kundor,” katanya.

2
TUMINAH (tengah) mengacau dodol pada Program Kacau Dodol Mega DUN Pantai Kundor tahun lalu. Program Kacau Dodol Mega itu menjadi acara tahunan setiap kali bulan Ramadan.

Tambah Tuminah, bagi program Kacau Dodol Mega pula ia akan dijangka akan diadakan pada 15 April depan dengan penglibatan penduduk dan semua sayap UMNO Bahagian Tangga Batu.

“Program kacau dodol ini kita akan buat pada waktu malam dan sekalikan dengan program sahur. Kebiasaan kita akan buat dua minggu sebelum raya,” katanya.

SANTUNI ANAK YATIM, ASNAF

Menurut Tuminah, sempena Ramadan juga, pihaknya tidak pernah melupakan golongan yang memerlukan khususnya fakir miskin dan anak yatim di DUN Pantai Kundor.

Justeru, katanya, satu majlis menyantuni golongan itu akan diadakan apabila menjelang Aidilfitri nanti.

“Selain membuat aktiviti, kita juga akan menyantuni anak-anak yatim dan fakir miskin yang ada dalam DUN Pantai Kundor ini termasuklah menerusi penyampaian sumbangan.

“Memandangkan bulan Ramadan ini lah masa yang sesuai untuk melaksanakan segala bentuk pahala dalam membuat amal kebajikan,”katanya.

Menurut Tuminah, pada Aidilfitri tahun ini, pihaknya akan meneruskan tradisi menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Pantai Kundor.

Menurutnya, selepas penganjuran di padang petanque bersebelahan Japerun Pantai Kundor tahun lalu, pihaknya merancang majlis itu akan diadakan di tepi pantai pada tahun ini.

“Ramai yang meminta agar Rumah Terbuka DUN diadakan di Pantai Puteri kerana lokasinya yang lebih strategik dan meriah.

“Apapun, kita akan melihat kepada kesesuaian dan tarikhnya juga akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1719
Kongsi :
Previous post 50 anak yatim teruja berbuka di hotel
Next post Ab Rauf dicadang sebagai Ketua Menteri Melaka baharu – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=