Raptai angkat sumpah TYT ke-7 berjalan lancar

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat
ANTARA para penjawat awam menyertai raptai sempena pelantikan TYT ke-7 di Seri Negeri, pagi tadi.

AYER KEROH 4 Jun – Majlis raptai bersempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka (TYT) ke-7 pagi tadi berjalan dengan lancar dan sempurna.

Perjalanan majlis yang akan berlangsung esok (Jumaat) di Dewan Istiadat Seri Negeri itu, disaksikan sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan.

Istiadat Angkat Sumpah TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 esok akan dimulakan dengan kehadiran tetamu jemputan, seterusnya Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali pada jam 9.30 pagi.

Selepas itu, jejawat tombak akan mula memasuki pekarangan dewan dan seterusnya perarakan masuk TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-7 dan isteri.

Majlis disambung dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya dan seterusnya majlis pengisytiharan pelantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Acara kemuncak merupakan majlis angkat sumpah dan menandatangani surat cara sumpah jawatan oleh TYT Yang di-Pertua Melaka ke-7 dan diikuti dengan ucapan taat setia Ketua Menteri dan bacaan doa oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

TYT Yang di-Pertua Melaka dijangka beredar meninggalkan dewan istiadat pada jam 11 pagi sebelum bergerak ke Pejabat TYT untuk acara Majlis Serah Tugas.

Views:

601
Kongsi :
Previous post Melaka kaji semula peraturan penjualan arak
Next post Teka-teki siapa TYT Melaka ke-7 terlerai
Ubah saiz-+=