Rayu gaji penghantar notis dinaikkan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

PANTAI KUNDOR 1 APRIL – Kesatuan Kebangsaan Penghantar Notis Semenanjung Malaysia mengemukakan enam tuntutan termasuk kenaikan gred gaji asas ketika ini sebanyak RM1,200.

Presidennya R Ganes berkata, kali terakhir 1,800 penghantarnotis menikmati kenaikan gaji adalah pada tahun 2013.

Menurutnya, jumlah gaji yang diterima pada masa ini amat sedikit berbanding beban tugas yang semakin mencabar selain peranannya yang tidak kurang penting dengan penjawat awam lain.

“Jawatan Penghantar Notis ini sudah wujud sejak negara belum Merdeka lagi, mereka ini ada di mahkamah, majlis perbandaran dan pejabat daerah.

“Kerja Penghantar Notis ini sama penting dengan bidang tugas kakitangan awam lain malah bayangkan, jika tiada notis penting berjaya dihantar maka urusan tersebut pasti gagal diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ke-12 Kesatuan Kebangsaan Penghantar Notis Semenanjung Malaysia oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat, semalam.

Selain tuntutan kenaikan gaji asas, menurut Ganes, pihak kesatuan turut mengemukakan lima tuntutan lain seperti pindaan nama jawatan Penghantar Notis kepada Pembantu Penguatkuasa Notis.

Turut dikemukakan, penyelarasan elaun telefon, kebenaran tuntutan bayaran lesen kenderaan dan cadangan peratusan bayaran pesara kerajaan mengikut tempoh tertentu.

“Kita yakin dan percaya walau tak semua tuntutan dapat, biarlah satu atau dua dapat ditunaikan oleh kerajaan, sekurang-kurangnya adalah perubahan pada gred gaji Penghantar Notis nanti,” kata beliau.

Sementara itu, menurut Adnan, tuntutan yang dikemukakan oleh pihak kesatuan dilihat munasabah berdasarkan keadaan semasa.

“Gaji RM1,200 golongan pekerja Penghantar Notis dilihat amat kecil, bawah RM1,900.

“Jumlah itu terlalu jauh daripada sasaran kerajaan yang mahu pendapatan isi rumah RM2,500 pada tahun 2025.

“CUEPACS merasakan sasaran ini sukar dicapai jika gaji asas ketika ini masih sekitar RM1,200 sedangkan tahun 2025 kini berbaki hanya tiga tahun,” katanya.

Namun, katanya, ia tidak mustahil dapat direalisasikan sekiranya pendapatan sedia ada dinaikkan pada RM1,800 serta tambahan elaun khidmat awam lain.

“Maka, CUEPACS cadangkan agar gaji minimum RM1,200 digerakkan dan jika dicampur dengan elaun serta imbuhan lain, ia boleh capai sehingga RM2,450.

“Tuntutan ini amat munasabah dipertimbangkan memandangkan mereka ini merupakan kumpulan kerja yang kecil, tidak jejas apa-apa dari pihak kerajaan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post Pembukaan sempadan negara: hanya laluan darat sahaja untuk ke Melaka – Sulaiman
Next post uKasih bantu miskin tegar keluar dari kepompong kemiskinan – KM
Ubah saiz-+=