‘Regional Forward Base’ lancarkan operasi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PANTAI KUNDOR 13 September – Sebanyak tiga ‘Regional Forward Base’ (RFB) ditubuhkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam usaha menyegerakan operasi menyelamat khusus pada musim banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, RFB berkenaan membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang bagi Wilayah Utara; BBP Ayer Hitam, Johor bagi Wilayah Selatan serta Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Terengganu untuk Zon Timur.

“Setiap RFB ini akan pantau tiga negeri, contoh bagi wilayah selatan ia membabitkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Apabila berlaku banjir kami tidak akan dapatkan bantuan daripada negeri luar sebaliknya menukar waktu kerja daripada 12 jam kepada 24 jam, cuti juga akan dibekukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Melaka di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

photo1663053819
PENGARAH Bahagian Operasi dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengurusan Bencana Peringkat JBPM Negeri Melaka di Pentas Budaya Pantai Puteri, Melaka. Foto: MR. AZLI

Terdahulu, majlis penutup disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun, Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi serta Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain.

Nor Hisham berkata, JBPM turut mengenal pasti 186 lokasi berisiko berlaku kepala air di seluruh negara selain turut memantau 122 kawasan cerun.

“Antara yang kami beri perhatian adalah di Baling dan Titi Hayun, Kedah, Lentang serta Berkelah di Pahang.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan melakukan persiapan awal termasuk semak ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum mengunjungi lokasi-lokasi berisiko ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1794
Kongsi :
Previous post Punca nahas helikopter eurocopter di Bidor kini disiasat pihak berkuasa
Next post Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud
Ubah saiz-+=