Remaja maut digilis bas

Masa Membaca:58 Saat

PANTAI KUNDOR 25 Mei – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas henti-henti di Jalan Pantai Kundor, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa Muhammad Harith Muhamad Zaki, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai menghala ke Pantai Puteri dari arah Sungai Udang untuk bersiar-siar.

Katanya, setiba di lokasi iaitu jalan yang berselekoh, motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggangnya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum digilis bas dipandu lelaki berusia 40 tahun.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat.

“Kenderaan terlibat telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup dan saksi bebas di lokasi kemalangan

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post Program Rakan Muda akan dirancakkan di setiap daerah – Hannah
Next post Hayati, fahami konsep MADANI – Ab Rauf
Ubah saiz-+=