Remaja maut kemalangan tiga kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Jun- Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan dua buah kereta dalam kejadian di persimpangan Kampung Bukit Gedong, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari mengkibatkan mangsa Muhammad Azizul Haiqal Zulkefli, 19, maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa dan PROTON Iswara dipandu wanita berusia 44 tahun serta PROTON Saga FLX juga dipandu wanita 30 tahun.

“Sebelum kejadian motosikal mangsa dan Proton Iswara dipercayai dalam perjalanan dari arah Tangga Batu menghala ke Tanjung Kling, dan kereta berkenaan berada di hadapan dengan jarak kira-kira tiga buah kenderaan.

“Pemandu kereta Iswara memberikan lampu isyarat kiri untuk masuk ke simpang kiri namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa bergesel di bahagian kanan kereta tersebut sebelum hilang kawalan dan terlanggar kereta Saga FLX yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu mangsa terpelanting jatuh ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Katanya, kedua-dua pemandu kereta berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat manakala kesemua kenderaan terlibat ditahan dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3250
Kongsi :
Previous post BKM: Isi rumah terima tambahan RM100 – PM Ismail Sabri
Next post Kerajaan kekal subsidi minyak masak kampit satu kilogram
Ubah saiz-+=