Remaja maut, motosikal rempuh kenderaan polis

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 11 April – Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas 21 jam bertarung nyawa akibat terlibat dalam kemalangan merempuh kenderaan polis di Jalan Gangsa – Kesang, Durian Tunggal di sini semalam.

Mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18 yang cedera parah di bahagian kaki dan badan meninggal dunia pada jam 12.37 tengah malam tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Abu Samah berkata pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 40 saat memaparkan kemalangan melibatkan motosikal mangsa dan kenderaan polis.

Katanya, siasatan mendapati anggota polis dari Balai Polis Durian Tunggal berusia 37 tahun menerima aduan awam berkaitan aktiviti dipercayai lumba haram motosikal di kawasan persimpangan lampu isyarat Gangsa.

“Sebaik kenderaan polis tiba di kawasan kejadian, anggota terbabit yang memandu kenderaan itu menyalakan lampu mata arah (beacon light) serta membunyikan siren amaran.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua individu yang berkumpul di tepi jalan tersebut bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal masing-masing.

“Ketika kejadian pada jam 2.56 pagi itu, polis cuba membelok ke arah kanan jalan, sebuah motosikal dipandu mangsa dari arah bertentangan telah melanggar hadapan kenderaan polis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Img 9187
KEADAAN mangsa parah selepas merempuh kenderaan polis. Foto media sosial

Beliau berkata akibat daripada rempuhan itu, mangsa parah sebelum menerima rawatan di zon merah hospital berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 21 jam kemudian akibat kecederaan dalaman badan,” katanya.

Zainol berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut menghubungi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, klip video berkaitan nahas itu turut tular di laman sosial memaparkan kenderaan polis tersebut memasuki simpang kanan sebelum dirempuh motosikal mangsa sehingga mengakibatkan mangsa tercampak.

Video berkenaan juga menimbulkan reaksi netizen yang mendakwa kenderaan polis berkenaan tidak memberikan lampu isyarat sebelum memasuki simpang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1911
Kongsi :
Previous post Harga petrol, diesel kekal bagi tempoh 11 hingga 17 April
Next post Dua rakan maut pulang selepas cuti beraya
Ubah saiz-+=