Remuk hati lihat tubuh adik digilis lori
ALOR GAJAH 7 Mac – Luluh hati seorang abang apabila melihat tubuh adik lelakinya kaku selepas digilis lori dalam kemalangan di Kilometer 219 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan pada jam 2.50 pagi itu, Nor Shah Asrap Reduan, 16 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan dua lori serta motosikal ditunggang remaja terbabit dan ketiga-tiga kenderaan itu dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari selatan menghala ke utara.
Katanya, siasatan lanjut turut mendapati mangsa berkonvoi bersama abangnya berusia 22 tahun yang menaiki motosikal berasingan menghala ke Bangi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai merempuh belakang sebuah lori membawa muatan plastik yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sebelum terjatuh di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
“Bagaimanapun, sebuah lagi lori yang membawa muatan botol plastik dipandu lelaki berusia 54 tahun yang tidak nampak mangsa terjatuh berikutan keadaan cahaya gelap melanggar mangsa sebelum diseret sejauh lebih kurang 100 meter.
“Abang mangsa yang berada di hadapan yang menyedari kelibat adiknya tidak kelihatan menongkah arah untuk mencari sebelum menemukan adiknya digilis lori,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata mangsa mengalami kecederaan pada seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Kedua-dua pemandu lori sudah membuat laporan polis dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata saksi awam yang melihat kemalangan itu diminta tampil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.