‘Rent to Own’ mudahkan rakyat miliki kediaman

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

TEHEL 28 Julai – Keputusan kerajaan meluluskan ‘Skim Rent to Own’ (sewa untuk dimiliki), disambut baik pemilik kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di Tehel dan Krubong.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kedua-dua PPR berkenaan sebelum ini hanya ditawarkan untuk sewaan sahaja dan keputusan kepada skim sewa untuk dimiliki dianggap langkah tepat bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Alhamdulillah, meskipun selepas empat dekad berlalu, kerajaan terus memberi komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyediakan program perumahan ini yang diberi nafas dan hala tuju baharu sesuai dengan keadaan semasa.

“Sehubungan itu, inisiatif Kerajaan Negeri Melaka menawarkan Skim Rent To Own ini kepada Keluarga Malaysia di PPR Tehel dan PPR Krubong merupakan langkah yang tepat dalam membantu rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

“Ini bermakna, lantai pemilikan dan peluang untuk memohon PPR ini diperluaskan lagi sesuai dengan garis pendapatan isi rumah terkini serta keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Sewa Untuk Dimiliki di PPR Tehel yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh serta Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Mohd Salleh Hamidom.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika hadir pada Majlis Pelancaran Skim Sewa Untuk Dimiliki (Rent To Own) di PPR Tehel. Turut bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto Iqmal Haqim Rosman

Reezal berkata, kerajaan akan memastikan penyediaan PPR dengan subsidi yang cukup tinggi memberi memanfaat kepada rakyat yang memerlukan dan mengambil kira mobiliti sosial yang akan berlaku dalam jangka masa panjang.

Menurutnya kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM354 juta untuk negeri ini sahaja bagi membangunkan enam buah PPR di Melaka.

Katanya, tiga projek dengan 1,436 unit kediaman telah siap dan diduduki iaitu PPR Sungai Putat, PPR Tehel dan PPR Krubong.

“Manakala, dua lagi projek dengan 375 unit kediaman sedang dalam pembinaan iaitu PPR Pulau Gadong yang dijangka siap pada Disember 2023 diikuti dan PPR Tangga Batu yang dijangka siap pada Januari tahun sama.

“Satu lagi projek PPR bakal dibangunkan dengan 300 unit kediaman ditawarkan di mana setakat ini ia masih pada peringkat perancangan iaitu PPR Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3240
Kongsi :
Previous post Perhimpunan #Turun: Polis serah kertas siasatan esok
Next post Wanita meninggal dunia selepas jalani rawatan tradisional
Ubah saiz-+=