Rentetan dakwaan disuntik vaksin kosong, akan diberi suntikan dos baharu

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 20 Julai – Mana-mana individu yang terbukti diberikan vaksin kosong akan dipanggil semula untuk menerima suntikan dos baharu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, memetik laporan portal Berita Harian sebentar tadi.

“(Mereka akan) dipanggil suntik semula,” katanya ketika ditanya melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan beberapa individu mereka diberi suntikan vaksin kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di media sosial.

Kes didakwa berlaku Sabtu lalu di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.

Vaksinasi di PPV itu dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

Terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong iaitu di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), yang didakwa berlaku pada Sabtu lalu dan orang awam terbabit sudah membuat laporan polis.

Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pula dakwaan mengenai suntikan palsu ini dibuat pada Ahad dan laporan polis dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.

Sebelum ini, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pihaknya menjelaskan memandang serius beberapa dakwaan berkenaan termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan ATM yang menjalankan siasatan terhadap perkara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Melaka rayu pertimbang peralihan fasa 2
Next post Pemberian vaksin lebih 14.7 juta setakat semalam – Adham Baba
Ubah saiz-+=