Melaka rayu pertimbang peralihan fasa 2

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

LENDU 20 Julai – Kerajaan negeri meminta kementerian berkaitan agar menilai semula peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan negeri-negeri kecil seperti Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan, beberapa indikator yang ditetapkan untuk peralihan fasa PPN dilihat seolah-olah tidak adil untuk negeri tertentu terutamanya membabitkan fasiliti kesihatan.

Mengambil contoh indikator pengurangan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) di bawah 70 peratus, beliau berkata situasi itu sukar untuk dicapai Melaka memandangkan negeri ini hanya mempunyai satu hospital merawat pesakit COVID-19 iaitu di Hospital Melaka.

“Kita tidak seperti negeri-negeri lain yang ada sehingga tiga hospital utama untuk merawat pesakit COVID-19. Di Melaka, ia agak sukar kerana Hospital Melaka satu-satunya yang kita ada.

“Satu lagi indikator membabitkan kes harian yang perlu berada di bawah 114, bagi saya ia juga mustahil dicapai dalam masa terdekat kerana sehingga kini kita masih menerima banduan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dihantar ke penjara dan depoh tahanan di negeri ini.

“Jadi, sebab itulah semalam, saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan agar tolong menilai semula syarat untuk negeri Melaka beralih fasa memandangkan kita merupakan sebuah negeri yang kecil,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Meskipun begitu, Sulaiman menzahirkan rasa gembira mengenai capaian vaksin di negeri ini yang sudah menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan hampir 17 peratus penduduk lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post Penghuni PKRC MITC tunai solat Sunat Aidiladha
Next post Rentetan dakwaan disuntik vaksin kosong, akan diberi suntikan dos baharu
Ubah saiz-+=