RM410,000 sumbangan realisasikan pembinaan masjid di Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BUKIT KATIL 9 September – Sebanyak RM410,000 sumbangan daripada pelbagai agensi dan individu berjaya dikumpul menerusi Tabung Saham Wakaf bagi meneruskan hasrat kerajaan negeri membina sebuah masjid di Pulau Besar.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, sumbangan yang diterima Kerajaan Negeri itu mampu melestarikan hasrat terbabit sebagai mercu baharu di pulau berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 30 agensi dan individu memberikan sumbangan bagi membina masjid dengan kos peruntukan lebih kurang RM28 juta.

“Alhamdulillah kerajaan negeri berjaya menerima sumbangan menerusi inisiatif individu dan agensi terlibat sejak program wakaf yang kita jalankan sejak September tahun lalu.

“Kita akan teruskan usaha ini bagi mencapai hasrat kerajaan negeri hasil ilham Yang di Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bagi membina sebuah masjid di Pulau Besar.

“Setakat ini kerja-kerja teknikal sedang dijalankan pihak terlibat dan Kerajaan Negeri bersama MAIM mengharapkan agar lebih ramai lagi penyumbang pada masa akan datang agar hasrat ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan replika cek pada Program Saham Wakaf di Masjid Saiyidina Ali, di sini hari ini.

photo_2022-09-09_15-43-52
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr). Mohd Ali Mohd Rustam (enam dari kanan) bergambar bersama penyumbang pada Majlis Penyerahan Sumbangan “Saham Wakaf Pembinaan Masjid Pulau Besar di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, Melaka. Foto: MR. AZLI

Terdahulu, program berkenaan diadakan selesai Solat Jumaat di masjid terbabit yang turut diserikan dengan kehadiran Tun Mohd Ali bersama tetamu lain.

Program itu diteruskan dengan sesi penyerahan replika cek dari pelbagai agensi dan individu kepada Tun Mohd Ali bagi mewakili Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Md Rawi berkata, pembinaan masjid di Pulau Besar dalam tempoh terdekat signifikan dengan lokasi pulau itu berikutan sejarahnya begitu penting dalam penyebaran Islam di nusantara suatu ketika dahulu.

“Perkembangan sejarah di Pulau Besar begitu penting dalam perkembangan Islam di nusantara suatu ketika dahulu di mana seorang ulama besar iaitu Sultan Ariffin Ismail menetap di kawasan ini juga merupakan anak murid kepada dua Wali Songo dari Indonesia.

“Kita berharap lebih ramai pihak sudi menghulurkan sumbangan mereka agar hasrat ini mampu tercapai, insyallah mereka yang ingin menyumbang boleh merujuk kepada MAIM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) atau secara terus kepada kerajaan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2444
Kongsi :
Previous post 7,000 barang elektrik, telekomunikasi seludup bernilai RM4.9 juta dirampas
Next post Pasang CCTV di Japerun Ayer Limau
Ubah saiz-+=