RM5 juta bantu keluarga miskin Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 27 November – Sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi inisiatif Bantuan MESRA Ketua Isi Rumah Miskin berjumlah seramai 1,098 orang di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan satu daripada enam inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Bantuan Melaka Sara Rakyat (MESRA) yang diumum pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka, di sini, hari ini.

AB Rauf berkata, menerusi inisiatif itu, penerima bantuan akan dibayar upah hasil kerja-kerja pembersihan di masjid, surau dan tanah perkuburan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM16.1 juta Bantuan MESRA Am Kebajikan.

“Bantuan ini melibatkan seramai 5,423 golongan B40 di Negeri Melaka yang mana jumlah ini adalah sebagai tambahan kepada 21,319 penerima bantuan yang disediakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Bajet 2024 Negeri Melaka bertemakan ‘Menelusuri Warisan, Mengembalikan Kegemilangan’ pada Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut bersetuju melanjutkan Bantuan MESRA Lampin Pakai Buang Dewasa dan Bantuan MESRA Susu Orang Terlantar dengan implikasi kewangan RM2.072 juta.

Jelasnya, inisiatif itu akan memanfaatkan pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Selain itu, bayi yang lahir di Negeri Melaka sepanjang tahun 2024 juga akan menerima Bantuan MESRA Bayi Melaka iaitu bantuan RM50 bagi pembukaan akaun SSPN Prime.

“Istimewanya, bayi yang lahir pada hari pembentangan Bajet 2024 iaitu pada hari ini (27 November) pula akan menerima bantuan RM150 setiap seorang.

“Keseluruhan peruntukan bagi inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM50,000,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Melaka negeri contoh pengurusan penempatan buruh 
Next post Tiga lagi ‘one stop centre’ e-hailing diwujudkan
Ubah saiz-+=