Rombakan Kabinet mantapkan kedudukan Kerajaan Madani

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 13 Disember – Rombakan Kabinet Menteri Yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam langkah proaktif untuk memantapkan pentadbiran Kerajaan Madani.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebagai menyokong Kerajaan Madani itu, Melaka menyambut baik rombakan dilakukan pemimpin negara itu.

Katanya, rombakan terbabit bukan sahaja membuktikan kebersamaan Kerajaan Madani malah memberi nilai tambah dalam memantapkan lagi Kerajaan Perpaduan dengan pelantikan menteri dan timbalan menteri daripada pelbagai parti untuk bersama-sama dalam Kabinet.

“Kalau kita lihat rombakan kabinet yang diumumkan tadi (semalam) kemantapan dalam kombinasi lantikan-lantikan baharu ini memantapkan lagi Kerajaan Perpaduan (yang) baharu.

“Dengan penambahan seorang lagi menteri daripada UMNO, menjadikan tujuh menteri bersama Kerajaan Madani.

“Lantikan menteri dari parti-parti lain ini akan memantapkan lagi Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Warga Pendidik Negeri Melaka di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad  serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai kedudukan portfolio Exco Kerajaan Negeri, Ab Rauf memaklumkan tiada perubahan atau rombakan akan berlaku di peringkat negeri.

“Melaka kekal.

“Melaka, semua (Exco) dengan portfolio masing-masing, apa yang dah ada ini sudah cukup mantap untuk menjalankan kerja-kerja pentadbiran negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka serbu restoran sorok gula, minyak peket
Next post Melaka hadiahkan pantun terbaik ke Wilayah Guanxi
Ubah saiz-+=