Rumah Terbuka DUN Lendu erat ukhuwah wakil rakyat dan masyarakat

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

LENDU 29 April – Penganjuran Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang diadakan sebanyak empat kali tahun ini lebih bersifat serampang dua mata bagi mendekatkan ukhwah antara masyarakat dan pimpinan di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain mencetus kelainan berikutan sambutan dipecahkan kepada empat lokasi Pusat Daerah Mengundi (PDM), penganjuran itu mampu menjadi wadah baginya untuk meluangkan masa bersama seluruh masyarakat kampung dengan lebih teratur.

Beliau yang merupakan Ketua Menteri Melaka ke-12 berkata, penganjuran itu diumpamakan seperti Hari Bertemu Rakyat buat penduduk di kawasan itu dengan kesempatan beramah mesra sekali gus menyelesaikan aduan berkaitan kebajikan serta pembangunan di DUN Lendu.

“Saya sifatkan penganjuran ini umpama serampang dua mata sebab selain kita raikan penduduk kampung saya memberi mereka peluang untuk bertemu saya, berborak dengan lebih lama dan jika ada masalah yang diutarakan kita boleh cuba selesaikan bersama.

“Kami anjurkan penganjuran seperti ini sebab kita mahu mengenali masyarakat dengan lebih rapat sebab kalau kita anjurkan serentak dalam peringkat DUN seperti sebelum ini kita rasa kita tidak sempat untuk berjumpa sesama masyarakat dan mengenali mereka dengan lebih mendalam.

“Penganjuran seperti ini juga merupakan permintaan oleh penduduk kampung supaya boleh mengenali antara satu sama lain dan Alhamdulillah saya melihat penganjuran ini menerima sambutan daripada seluruh penduduk kampung daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Lendu Peringkat PDM Durian Daun diadakan di Balai Raya Durian Daun Barat, di sini malam tadi.

Terdahulu, sambutan diadakan itu telah dihadiri kira-kira 3,000 penduduk membabitkan lima buah kampung di kawasan PDM itu dan sambutan itu dimeriahkan dengan pelbagai juadah disediakan penduduk kampung terlibat.

Majlis itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin bersama Timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta tetamu kenamaan lain.

Mengulas lanjut, penganjuran itu juga mengambil konsep seperti majlis perkahwinan di mana setiap jemputan kepada penduduk kampung telah diundang menggunakan kad jemputan dari rumah ke rumah.

“Setiap kampung perlu sediakan tiga juadah daripada peniaga kecil dari kampung itu sendiri dan ini juga memberikan pulangan semula kepada mereka untuk menjana pendapatan sampingan.

“Alhamdulillah, penganjuran tahun ini menerima respon positif daripada penduduk kampung dan setakat ini dianggarkan kira-kira 15,000 kehadiran direkodkan dalam empat rumah terbuka diadakan di PDM Lendu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post ‘Trail’ pelancong di Banda Hilir bermula Sabtu depan
Next post Waktu operasi Pahlawan Walk dilanjutkan sempena ‘Bila Larut Malam’
Ubah saiz-+=