SANG BEDAL MASUK PERANGKAP DI SUNGAI MALIM
KESIDANG 22 November – Buaya tembaga jantan sepanjang lebih tiga meter berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka, di Sungai Malim, petang semalam.
Reptilia seberat 200 kilogram itu dikatakan diburu sejak beberapa bulan lalu selepas didakwa membaham beberapa ekor kambing di Kampung Tengah, Klebang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tangkapan reptilia itu adalah yang ketiga dibuat Perhilitan di lokasi sama sejak bulan lalu.
“Orang awam dan penduduk sekitar diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri kawasan sungai itu.
“Ini kerana berdasarkan keadaan fizikal dan berat, buaya yang ditangkap (semalam), ia bukan seperti yang digambarkan oleh penduduk.
“Justeru, PERHILITAN akan terus memasang perangkap di kawasan Sungai Malim ini dalam usaha mengesan buaya yang dikatakan membaham ternakan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Petra Sulai berkata, kehadiran buaya itu disedari oleh pemancing yang kebetulan berada di lokasi apabila ternampak kelibat reptilia terbabit masuk ke dalam perangkap.
“Sebelum ini, perangkap berkenaan sudah diletakkan di beberapa lokasi antaranya di Sungai Ayer Salak, Kampung Tengah dekat Pulau Gadong tetapi tidak mengena,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.