Saran wakil rakyat taja Orang Asli carum Perkeso

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Oktober – Pemimpin di kawasan Perkampungan Orang Asli di negeri ini disaran memberi maklumat kepada penduduk mengenai kepentingan mencarum skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya turut menyarankan wakil rakyat di kawasan tersebut untuk menaja masyarakat Orang Asli mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Ini kerana menurutnya, kebanyakan masyarakat itu bekerja sendiri dan berdepan risiko dalam pekerjaan masing-masing.

“Di Melaka terdapat 14 perkampungan Orang Asli meliputi Daerah Alor Gajah dan Jasin, dan hampir 90 peratus daripada mereka ini tidak lagi mempunyai sebarang insurans atau caruman.

“Kebanyakan daripada mereka ini bekerja sendiri, ada yang masuk hutan, baik pulih rumah, kontrak dan pelbagai lagi kerja yang berisiko tinggi, sebab itulah mereka dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Perkeso Mendekati Media di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Perkeso negeri, Abd Razak Omar dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.

Mengulas lanjut, Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, pihaknya telah menaja hampir 50 peratus masyarakat Orang Asli di tujuh perkampungan di Machap Jaya menerusi SKSPS.

Jelasnya, jumlah itu membabitkan seramai 136 orang ketua keluarga untuk dilindungi dalam tempoh setahun.

Katanya, dengan caruman tersebut sekiranya ketua keluarga masyarakat terbabit yang bekerja sendiri mengalami kemalangan, keluarga mereka akan menerima manfaat daripada Perkeso.

“Saya tergerak hati untuk bantu masyarakat Orang Asli ini kerana sebelum ini, ada sebuah keluarga yang menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan selepas ketua keluarga mereka yang bekerja meninggal dunia kerana jatuh daripada pokok (ketika bekerja).

“Dengan diskaun dan subsidi daripada Kerajaan Pusat, saya menaja seramai 136 ketua keluarga dalam masyarakat Orang Asli di kawasan saya (Machap Jaya).

“Sekurang-kurangnya jika berlaku musibah atau perkara tidak diingini, mereka ini dilindungi dan menjamin masa depan keluarga jika mereka (ketua keluarga) tiada, kerana kerja mereka terdedah risiko,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

968
Kongsi :
Previous post Pegawai kanan tentera dipanggil bantu siasatan kes cabul wanita di kelab golf
Next post Bukit Rambai rekod IPU lebih 100
Ubah saiz-+=