Sasar 280,000 benih udang galah, ikan dilepaskan di perairan umum Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SUNGAI RAMBAI 23 Mac – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyasarkan 280,000 benih udang galah dan ikan dilepaskan di perairan umum di Melaka tahun ini.

Timbalan Menteri 1 Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, daripada jumlah itu 100,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Kesang, Jasin.

Menurutnya, bagaimanapun program inventori sungai dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pelepasan benih udang galah dibuat bagi mengenalpasti kawasan dan spesies asli itu.

AHMAD menyampaikan ESHND kepada Yazid Hamdan pada program itu.

“Dengan adanya usaha ini kita dapat menambah stok udang galah di perairan umum dan melindungi stok ikan asli.

“Selain itu jabatan juga memperkenal perikanan rekreasi sebagai aktiviti utama perairan berdekatan bandar dan membangunkan perusahaan pelancongan berasaskan perikanan rekreasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelepasan Benih Udang Galah ke perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Sistem Penyampaian & Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKS) di Sungai Kesang, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad berkata, nelayan darat di kawasan sekitar diharap tidak menggunakan jala bagi menangkap spesies itu.

“Gunalah pancing dahulu, kita nak elakkan hidupan ini daripada terus terancam kerana ia boleh menjana sumber pendapatan nelayan darat.

“Lagipun tempoh matang bagi udang galah ini mengambil masa empat ke enam bulan,” katanya lagi.

Pada program itu, Ahmad turut menyampaikan Elaun Sara Hidup nelayan Darat (ESHND) kepada 40 nelayan darat Daerah Alor Gajah dan lima nelayan darat Daerah Jasin.

SEBAHAGIAN penerima bantuan yang hadir pada program tersebut.

Selain itu, seramai lima penternak di Daerah Alor Gajah dan empat penternak Daerah Jasin menerima bantuan SPeKS berbentuk perlatan akuakultur, makanan ternakan, benih ikan dan pembinaan rak kupang bernilai RM211,400.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hasan Baktee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhammad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

941
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri terima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech
Next post Tiga individu direman siasatan kes rasuah projek pelitup muka bernilai RM9 juta
Ubah saiz-+=