Sasar 50 kapal persiaran berlabuh di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 12 April – Kerajaan Negeri menyasarkan sehingga 50 kapal persiaran mewah berlabuh di perairan Selat Melaka sepanjang 2023 dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berharap usaha itu mampu merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan dengan lebih ramai penumpang kapal berkenaan mengambil kesempatan ketika berlabuh untuk melawat destinasi menarik sekitar Melaka.

Abdul Razak berkata, mengikut kebiasaan setiap kapal persiaran mewah membawa sekitar 400 hingga 500 penumpang dan ia dianggap sebagai satu potensi besar yang perlu direbut.

Menurutnya ketiadaan jeti khusus untuk penumpang kapal persiaran berlabuh di Melaka bukan satu masalah yang besar kerana kemudahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sudah lengkap.

“Ada pelancong yang singgah hampir 12 jam di Melaka untuk melihat produk pelancongan kita tetapi tidak bermalam.

“Sebab itu kita harap supaya pelancong ini dapat bermalam di Melaka dan kita boleh tawarkan pakej istimewa sempena TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelancong-pelancong dari Jerman dan Eropah yang menaiki kapal persiaran ‘Ms Amadea’ di Kompleks ICQS, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) negeri, Badaruddin Mohd Kassim dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Terdahulu Abdul Razak menyambut ketibaan seramai 390 pelancong dari Jerman dan Eropah yang singgah di Melaka pada jam 8.45 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1509
Kongsi :
Previous post Polis buru dua tahanan Indonesia yang lolos ketika dalam perjalanan ke penjara
Next post Produk UTeM menyerlah di MTE 2023
Ubah saiz-+=