Sasar 92 peratus peningkatan prestasi perbelanjaan pembangunan 2023 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 12 Mei – Kerajaan Negeri mensasarkan peningkatan sebanyak 92 peratus bagi prestasi perbelanjaan pembangunan negeri pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan yang konsisten selama tiga tahun berturut-turut melebihi 85 peratus dan ke atas dari 2020 hingga 2022.

“Dalam tempoh tiga tahun Kerajaan Negeri telah melaksanakan sejumlah 2,953 projek atau program pembangunan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.

“Kerajaan Negeri juga serius dalam memastikan projek pembangunan berjalan dengan lancar dan sempurna, justeru kita mensasarkan 92 peratus prestasi perbelanjaan pembangunan negeri bermula tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik Negeri Melaka serta Anugerah Kajian Penilaian Outcome Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Low Chee Leong.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan peruntukan yang lebih banyak kepada Melaka pada tahun mendatang.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan berbesar hati untuk meningkatkan peruntukan pada tahun-tahun akan datang demi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan.

“Sekali gus dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri seperti sudut membuka peluang pekerjaan serta insentif pembangunan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1155
Kongsi :
Previous post Jual Hermes harga ‘Rahmah’, empat pemilik premis ditahan
Next post PEDi Chabau lahirkan 40 usahawan kampung
Ubah saiz-+=