Satu Malaysia beraya di Duyong

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DUYONG 2 Mei – Faktor aura dan personaliti Datuk Mohd Noor Helmy yang tegas namun berjiwa rakyat menyebabkan puluhan ribu tetamu sanggup datang beraya di Jamuan Mega Raya Duyong Kita 2024 di Taman Bandaraya Bukit Serindit, malam tadi.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong mengecap populariti apabila videonya berkhidmat untuk warga Duyong sering tular di laman sosial terutamanya platform TikTok.

Maka, tidak hairanlah, majlis yang diadakan besar-besaran itu, dihadiri orang ramai bukan sahaja dari Negeri Melaka bahkan seluruh negara.

Seorang tetamu dari Pahang, Asiah Che Ahmad, 65, bersama suami sanggup meredah puluhan kilometer bagi merasai suasana Aidilfitri bersama wakil rakyat terkenal itu.

“Makcik dapat tahu sebab selalu tengok ‘Facebook’ YB (Yang Berhormat). Seronok sangat dapat beraya jauh-jauh begini dan merasai pengalaman baharu.

“Selain beraya, kami juga dapat bermalam dan menikmati tarikan pelancongan yang ada di Melaka. Insya-Allah jika ada rezeki kami akan datang lagi pada tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1714619150
ASIAH

Nada sama turut disuarakan Salwany Malik, 28, yang datang dari Johor semata-mata mahu menyaksikan figura itu secara lebih dekat.

“Aura atau ‘vibe’ YB viral ini lain macam sebab itu saya sanggup datang dari jauh ke majlis ini hanya untuk melihat beliau secara bersemuka.

“Saya memang pengikut setia beliau di TikTok, jadi bila dapat tahu ada jamuan ini terus ‘lock’ tarikh untuk datang, alhamdulillah makanan sedap dan parkir kereta pun senang,” katanya.

Photo1714619023
SALWANY

Sementara itu, anak jati Semabok, Hamidah Hasan, 62, dan keluarga memilih konsep beraya sambil berkelah dengan membawa tikar ke majlis berkenaan.

“Kita tahu satu Malaysia akan datang ke jamuan ini, jadi sebab itulah kami membawa tikar sendiri untuk memberi lebih keselesaan kepada keluarga saya dan tetamu lain yang datang.

“Boleh dikatakan suasana raya di Duyong kali ini sangat meriah dan berbeza kerana dihadiri ramai tetamu dari dalam dan luar Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1958
Kongsi :
Previous post Kenaikan gaji penjawat awam adalah tanda penghargaan
Next post Kerajaan akan terus pantau kadar inflasi susulan kenaikan gaji penjawat awam – PM
Ubah saiz-+=