Saya akan terus sokong GEG biarpun sebagai rakyat biasa – Khairy

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PUTRAJAYA, 12 Okt – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau akan terus menyokong Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dan Dasar Generasi Penamat (GEG) biar apa sekalipun kedudukan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menyifatkan Rang Undang-undang itu sebagai agenda penting untuk rakyat Malaysia, Khairy berkata beliau telah melakukan yang terbaik bagi Rang Undang-undang berkenaan sejak awal sehingga melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

“Saya akan terus menyokong supaya GEG ini dibawa ke Parlimen dalam apa jua kedudukan saya selepas ini. Mungkin sebagai Ahli Parlimen, mungkin sebagai rakyat biasa dan saya akan terus push supaya kerajaan yang baharu membawa RUU ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Anti-Obes City Putrajaya dan pelancaran modul program pengurusan berat badan di sini hari ini.

Khairy turut berharap kerajaan baharu akan dibentuk kelak dan menteri yang memegang portfolio kesihatan tidak tunduk kepada syarikat tembakau dan yang terbabit dalam penjualan produk rokok.

Dalam pada itu, Khairy berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Parlimen baharu yang akan dibentuk selepas PRU15 dianggotai Ahli Parlimen baharu.

“Jadi kita tidak boleh ambil pendirian bahawa Parlimen baharu ini akan automatik setuju dengan apa yang Parlimen lama melalui JKPK telah pun setuju,” katanya.

Bacaan pertama dan kedua RUU telah dibuat pada 27 Julai dan 1 Ogos lepas sementara satu usul bagi merujuk ia kepada JKPK Menimbang Rang Undang-undang telah dibuat pada 2 Ogos dan dipersetujui Dewan Rakyat.

Rang undang-undang berkenaan antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

Ia bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post Pemandu lori didenda RM3,000 pukul adik ipar
Next post Mayat wanita reput ditemukan dalam semak di Ipoh
Ubah saiz-+=