Saya takkan hampakan rakyat Melaka – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 21 Nov – Ketua Menteri Melaka ke-13 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berjanji akan memikul tanggungjawab seikhlas hati untuk memimpin negeri ini.

Katanya, mandat yang diberikan rakyat Melaka sama sekali tidak akan dihampakan dalam menggalas amanat dan memahsyurkan Melaka ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Saya sama sekali tidak akan menghampakan harapan rakyat negeri ini dan berjanji akan memikul tanggungjawab seikhlas hati.

“Sebagai Ketua Menteri baharu, saya akan menunaikan kewajipan sebagaimana kehendak rakyat Melaka dan pada masa sama menggalas amanat untuk memahsyurkan negeri ini ke persada antarabangsa.

“Saya juga berjanji akan memimpin dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat tanpa mengira etnik, bangsa dan kaum,” katanya pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri di Dewan Seri Utama, di sini.

Terdahulu, Sulaiman mengangkat sumpah di Dewan Seri Utama kira-kira jam 12.58 pagi tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dalam memperkenan dan melantiknya sebagai Ketua Menteri sejurus selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka yang masih memberikan kepercayaan kepadanya dalam meneruskan tugas sebagai pemimpin dan wakil rakyat.

“Tidak dilupa kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri yang banyak mengurus dan mentadbir negeri ini sejurus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post Sulaiman angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13
Next post Pelantikan EXCO diputuskan dalam masa terdekat – Sulaiman
Ubah saiz-+=