Pelantikan EXCO diputuskan dalam masa terdekat – Sulaiman

Masa Membaca:59 Saat

SERI NEGERI 21 Nov – Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) akan diputuskan dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, beliau perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk menilai kebolehan serta pengalaman berdasarkan portfolio yang akan disenaraikan.

Katanya, sebaik sahaja perkara itu diteliti, beliau akan memaklumkan dan berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

“Mengenai pelantikan EXCO, saya perlu menilai jumlah kerusi yang telah dimenangi, Insha-ALLAH saya akan memaklumkan perkara ini selepas saya mengambil kira aspek kebolehan dan begitu juga pengalaman bagi setiap portfolio yang saya lantik.

“Ia berdasarkan mereka yang memenangi 21 kerusi, selepas itu saya akan memaklumkan untuk berbincang dengan Tuan Yang Terutama Tun (TYT), kemungkinan pada minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di sini, hari ini.

Terdahulu, Sulaiman mengangkat sumpah pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Mohd Ali Rustam pada jam 12.58 malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

565
Kongsi :
Previous post Saya takkan hampakan rakyat Melaka – Sulaiman
Next post Saya perlu bersedia awal – Sulaiman
Ubah saiz-+=