“Saya tidak akan bubar DUN” – Ahmad Faizal

Masa Membaca:59 Saat

IPOH 4 Dis – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak di bawah Perikatan Nasional (PN).

Katanya beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang mendepani pandemik COVID-19 berbanding kedudukannya selepas gagaal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan terhadapnya selaku Menteri Besar Perak pada persidangan DUN pagi tadi.

“Bila saya menghadap Sultan, saya boleh menyembah agar Dewan (DUN)  dibubarkan, (namun) adakah itu yang kita mahu? Sama sekali tidak, (kerana)  keadaan (sekarang) tidak kondusif untuk pilihan raya. Jadi apa yang saya harus lakukan?

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Katanya beliau berusaha melakukan yang terbaik semasa diberi amanah menjadi menteri besar “dan apabila tiba masa seperti sekarang, saya terima dengan baik.”

“Saya harap ramai dapat terima keadaan ini, ini  bukan tentang kita tapi tentang kita nak bagi perkhidmatan,” tambahnya lagi.

–BERNAMA

Views:

621
Kongsi :
Previous post Malaysia gesa dunia halang penyebaran maklumat salah mengenai vaksin COVID-19
Next post RM3.17 juta naik taraf Kompleks Rakan Muda Alor Gajah
Ubah saiz-+=