Sayur di Melaka murah

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SUNGAI UDANG 18 April – Melaka telah merekodkan harga sayur terendah berbanding negeri-negeri lain menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, penurunan itu mula dikesan awal bulan ini membabitkan sayuran seperti kangkung, bayam, kubis, kacang panjang, timun dan tomato.

Katanya, antara faktor penurunan harga berkenaan adalah disebabkan hasil pengeluaran sayuran yang meningkat selain cuaca yang baik sejak kebelakangan ini.

“Selain itu, faktor pengeluaran melebihi permintaan juga menyebabkan beberapa sayuran mengalami penurunan harga.

“Malah, pasukan KPDN Melaka telah ke Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini memandangkan kebanyakan sayuran di Melaka datang dari tanah tinggi itu.

“Daripada lawatan tersebut, kita telah mengkaji kadar pengeluaran sesuatu sayuran dan hasilnya ia membawa kepada penurunan harga bagi pasaran di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di sebuah pasar raya di Bertam Setia, di sini, hari ini.

Pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa Peringkat Negeri Melaka telah disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Dalam pada itu, ditanya sama ada berlaku kenaikan harga daging lembu tempatan, Norena berkata, perkara itu tidak berlaku di negeri ini memandangkan KPDN telah mengawal harga bahan mentah itu tidak melebihi RM41 sekilogram.

“Bagaimanapun, sekiranya didapati ada peniaga cuba menjual melebihi harga kawalan, orang ramai bolehlah menyalurkan aduan rasmi kepada KPDN Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1405
Kongsi :
Previous post Ajal langgar kerbau
Next post Melaka River Cruise sasar kutip hasil RM26.5 juta tahun ini
Ubah saiz-+=