Sebahagian Balai Bomba Jalan Kubu dijadikan muzium

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT KATIL 19 Julai – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu akan dinaiktaraf menjadi Muzium Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan peruntukkan sebanyak RM 3.5 juta yang diluluskan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata pengubahsuaian balai berkenaan akan memakan masa sehingga dua tahun.

Katanya, BBP Jalan Kubu dipilih kerana usia dan struktur bangunan yang dibina sejak tahun 1972 menjadikan balai itu bersesuaian untuk dipilih menjadi muzium.

“Muzium Bomba dan Penyelamat itu nanti akan ditampilkan pameran-pameran yang ‘hidup’, dan pengunjung dapat pembelajaran awam disamping mendapat bahan-bahan ilmiah.

“BBP Jalan Kubu sehingga kini masih beroperasi sebagai balai bomba, hanya sebahagian daripada bangunan balai itu akan diangkat menjadi muzium, menempatkan pameran bahan-bahan berkaitan bomba dari zaman dahulu sehingga kini berada di balai-balai dan pusat latihan di seluruh negeri dalam Malaysia.

“Kita akan mengangkat muzium bomba ini sama seperti di Pulau Pinang (iaitu) di Jalan Perak,” katanya dalam sidang media selepas Program Perhimpunan Dwi Tahunan 2022 JBPM Negeri Melaka Bulan Julai di Balai Bomba Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, sehingga kini proses menaik taraf balai berkenaan sedang giat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Terdahulu dalam majlis berkenaan, seramai 150 anggota dan pegawai menerima pentauliahan MyPortfolio kepada pegawai dan kakitangan baharu tahun 2022, pemakaian tanda pangkat kepada pegawai dinaikkan pangkat, penyerahan sumbangan kepada Atlet Melaka ke World Police dan Fire games Rotterdam.

Turut diberikan penyampaian sijil penghargaan kepada pesara JBPM Melaka dan pegawai yang bertukar ke luar negeri serta agensi pengamal media.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2392
Kongsi :
Previous post Demi ilmu Mat sedia ‘payung’ anak Duyong
Next post Baik pulih kerosakan berulang jambatan gantung di Laman Belia
Ubah saiz-+=