Segera penambahbaikan infrastruktur LTAM – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 20 Sept. – Kerajaan negeri Melaka perlu mempergiat usaha mendapatkan kelulusan Kerajaan Pusat bagi menyegerakan penambahbaikan infrastruktur Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam (LTAM).

Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ia satu usaha menggerakkan sektor industri perkhidmatan khusus yang berkaitan dengan sub-sektor pelancongan kesihatan.

“Penambahbaikan ini termasuklah menambah bilangan ‘parking bay’ pesawat, menambah baik sistem pengurusan penumpang dan juga pemanjangan landasan bagi memberi keselesaan kepada pesawat agar boleh mendarat dengan kapasiti penuh.

“Seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak laluan domestik dan antarabangsa bagi menyokong sektor pelancongan kesihatan dan pelancongan sosial yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-14, hari ini.

Tun Mohd Ali berkata, Negeri Melaka sinonim dengan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti yang telah lama menjadi faktor yang menarik kedatangan pesakit.

“Khususnya dari Indonesia dan Singapura melalui empat hospital swasta sedia ada iaitu Putra Specialist Hospital (PSH), Mahkota Medical Centre (MMC), Hospital Pantai Ayer Keroh dan Oriental Melaka Straits Medical Centre.

“Hospital ini disokong dengan jumlah keseluruhan 913 buah katil serta doktor-doktor pakar dan ia mampu memenuhi permintaan di sektor perkhidmatan ini,” katanya.

Menurutnya, difahamkan projek menaik taraf LTAM itu berjumlah RM200 juta pernah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Justeru, saya harap kerajaan persekutuan dapat memberi kelulusan dalam Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini, khusus bagi meningkatkan lagi ekonomi Negeri Melaka dalam sektor ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post Peluang bangkit semula pasca COVID-19 – Tun Mohd Ali
Next post Warga emas tipu urus vaksinasi COVID -19
Ubah saiz-+=