Peluang bangkit semula pasca COVID-19 – Tun Mohd Ali

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 20 Sept – Kerajaan negeri perlu menyusun strategi dan pelan tindakan untuk membantu rakyat dan membangunkan semula ekonomi Melaka pasca COVID-19.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam berkata, semua pihak termasuk pembangkang perlu berbincang bersama kerajaan negeri demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Kini tanggungjawab kerajaan amatlah penting khususnya dalam membantu rakyat yang terkesan disebabkan oleh pandemik COVID-19,” katanya semasa merucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka.

Ini adalah Sidang DUN Melaka pertama kali tahun ini.

“Ada rakyat yang hilang pekerjaan, syarikat yang tidak mampu untuk meneruskan operasi, anak-anak yang kehilangan kedua ibu-bapa dan masalah sosial yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

“Semua isu dan masalah ini perlu ditangani dengan sebaiknya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tun Mohd Ali berkata, situasi pandemik di Melaka masih pada tahap yang membimbangkan.

“Kita masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda penurunan.

“Saya percaya dan yakin bahawa tempoh waktu ini adalah peluang kepada negeri Melaka untuk bangkit semula dalam membangunkan ekonomi negeri dan membantu para peniaga serta meraih keyakinan pelabur untuk melabur di negeri Melaka,” katanya.

Tun Mohd Ali mahu semua sektor ekonomi Melaka dipulihkan dan bersedia merebut peluang apabila ekonomi negara dan global kembali bergerak pasca COVID-19.

Ini termasuk sektor pelancongan, yang menjadi nadi kepada ekonomi Melaka.

“Saya menggesa kerajaan negeri supaya terus mempelbagaikan produk baharu pelancongan, menaiktaraf produk sedia ada serta melaksanakan pelbagai inisiatif,” katanya.

Mengenai infrastruktur, Tun Mohd Ali mahu kerajaan negeri menyegerakan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

“Penambahbaikan ini termasuklah menambah bilangan parking bay pesawat, menambahbaik sistem pengurusan penumpang dan juga pemanjangan landasan.

“Ini bagi memberi keselesaan kepada pesawat agar boleh mendarat dengan kapasiti penuh yang seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak laluan domestik dan antarabangsa bagi menyokong sektor pelancongan kesihatan dan pelancongan sosial yang lain.

“Saya difahamkan bahawa projek menaik taraf LTAM Batu Berendam yang berjumlah RM200 juta pernah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Persekutuan akan dapat memberikan kelulusan dalam Belanjawan Tahun 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

978
Kongsi :
Previous post Pastikan perancangan dibuat mengikut lapan ‘flagship’ – TYT
Next post Segera penambahbaikan infrastruktur LTAM – TYT
Ubah saiz-+=