Sekolahku hijau…

BANDA HILIR 20 Jun – Berkat sokongan guru-guru, ibu bapa dan murid menjadi penyumbang kepada kejayaan Sekolah Kebangsaan Convent Infant Jesus 1 (SKCIJ1), di sini meraih Anugerah ‘Silver Flag’ dalam program Eco-Schools yang disertai sejak 2016.

Guru Penasihat program, Norhadijah Omar @ Mahmud berkata, pihaknya sangat terharu dengan kerjasama utuh yang diberikan kepada sekolah berkenaan untuk mengekalkan konsep kehijauan di persekitaran sekolah.

Katanya, daripada sekolah yang nampak biasa, kini terdapat lebih 70 jenis tumbuhan meliputi tanaman herba dan hiasan telah ditanam, selain turut menternak madu kelulut dalam usaha merealisasikan hasrat menjadi sekolah lestari berkonsep pembangunan hijau.

Malah, katanya, selepas ini pihaknya menyasarkan lebih 80 tanaman lagi akan ditanam di sekolah berkenaan menjelang 2023 dalam misi meraih kejayaan seterusnya.

“Apabila dinobatkan dalam anugerah ini kita semakin bersemangat untuk menjulang anugerah pertama dalam peringkat kebangsaan ini dengan berharap mampu menggungguli Anugerah ‘Green Flag’ pada tahun akan datang.

“Semua kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa kerjasama guru-guru, ibu bapa menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid yang sanggup turun padang bersama mencantikkan panorama sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Di sebalik kejayaan sekarang, Norhadijah bagaimanapun mengakui projek itu hampir menemui titik noktah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang menyaksikan sesi persekolahan terpaksa dibuat secara dalam talian.

Ketika itu, ujarnya, segala tanaman di sekolah itu tidak dapat diuruskan dengan baik dan ada yang mati begitu sahaja.

Namun, situasi itu kembali berubah apabila kerajaan mula memberi lebih banyak kelonggaran dan sekolah mula dibuka dengan guru-guru dan murid sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menghijaukan semula persekitaran sekolah.

“Kerjasama guru yang sanggup menghabiskan masa selepas sesi persekolahan kita kini bangkit semula untuk memastikan sekolah ini terus kekal hijau.

“Mereka begitu rajin sebab kadang-kadang sewaktu rehat ketika kelas tambahan di hujung minggu mereka sama-sama bantu kita bagi mengangkat prestasi sekolah ini.

“Alhamdulillah, untuk tahun hadapan kita menyasarkan agar sekolah ini tercalon untuk menerima pengiktirafan seterusnya agar menjadi contoh di antara sekolah sekolah yang lain di Melaka,” katanya.

Program Eco-Schools SK Convent Infant Jesus 1. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, Program Eco-Schools itu telah dirasmikan EXCO Pendidikan Negeri, Datuk Rais Yasin yang sempat meninjau beberapa projek ‘Eco-School’ di sekolah berkenaan antaranya tanaman sayur di Laman Bonda, penternakan madu kelulut, projek taman herba serta pelbagai lagi.

Setakat ini sebanyak 135 daripada 315 buah sekolah di Melaka telah menyambut usaha mengekalkan kehijauan berkenaan dan sehingga kini hanya 17 buah sekolah menerima pengiktirafan sebagai Eco-Schools dengan lima antaranya menerima anugerah ‘Green Flags’ diikuti sembilan sekolah menerima anugerah ‘Silver Flags dan tiga buah sekolah menerima ‘Bronze Flags’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Previous post 140 warga Duyong hadiri pendengaran awam isu banjir, sampah
Next post SSN Seri Kota bawa nama Melaka di Indonesia