Semangat kesukarelaan tinggi perlu disemai dalam diri pegawai dan anggota APM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 1 Mac. – Semangat kesukarelaan dan disiplin yang tinggi perlu disemai dalam diri setiap pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di negeri ini.

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, ia penting bagi membentuk sebuah pasukan beruniform yang mantap dan bersedia memberikan khidmat kepada orang awam pada bila-bila masa diperlukan.

Katanya, ia sejajar dengan bidang tugas APM itu sendiri yang berkait rapat dengan memberi perkhidmatan kepada orang awam sebagaimana dinyatakan di bawah Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Pindaan 2016).

Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra mengingatkan peserta kursus mengenai peranan dan fungsi APM. Foto ihsan APM Melaka

“Sebagai sebuah pasukan beruniform, membentuk diri ke arah berdisiplin, ketahanan mental dan fizikal mampu serta berupaya membantu diri dan orang lain.

“Justeru, dengan semangat kesukarelaan yang tinggi dapat mempercepatkan lagi hasrat bagi membentuk sebuah pasukan beruniform yang tegap dan mampu menghasilkan tugas yang terbaik kepada orang awam,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam dan Latihan Ulang Kaji (Refresher) Kejurulatihan dan Kursus Asas Pertahanan Awam Negeri Melaka Siri 1 Tahun 2021, semalam.

Keseluruhannya 44 orang peserta membabitkan 29 lelaki dan 15 wanita mengikuti dua kursus itu bermula 23 hingga 28 Februari lalu.

Latihan kejurulatihan disertai sembilan pegawai iaitu empat lelaki dan lima wanita, manakala kursus asas disertai 35 peserta membabitkan 24 lelaki dan 11 wanita.

PESERTA yang menamatkan Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 1 Tahun 2021. Foto ihsan APM Melaka.

Sementara itu, Cuthbert dalam ucapannya turut mengingatkan semua peserta mengenai fungsi dan peranan APM antaranya melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu pertahanan awam ke arah kesiapsiagaan menghadapi ancaman musuh, kecemasan dan bencana.

Katanya, APM juga berperanan melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana itu.

“Justeru antara objektif kursus asas ini adalah pertamanya menyemai semangat kesukarelaan, sedia memberi bantuan dan pertolongan serta menghargai nyawa dan harta benda milik bersama.

“Setiap peserta diajar dengan pengetahuan kemahiran asas Pertahanan Awam yang perlu ada pada setiap pegawai dan anggota dalam jabatan.

“Melalui kursus ini juga peserta dapat mengenali dengan lebih jelas tugas dan fungsi APM itu sendiri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1668
Kongsi :
Previous post PKPD Penjara Sungai Udang tamat esok
Next post Syukur… kes harian jangkitan COVID-19 Melaka kembali satu digit
Ubah saiz-+=