Syukur… kes harian jangkitan COVID-19 Melaka kembali satu digit

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 1 Mac. – Melaka kembali mencatatkan angka satu digit kes positif COVID-19 harian dengan lapan kes baharu, hari ini.

Kes COVID-19 di negeri ini mula naik mendadak sejak awal tahun ini apabila merekodkan angka dua dan tiga digit kes harian berpunca daripada beberapa kluster baharu khususnya membabitkan perjalanan rentas negeri dan saringan pekerja industri.

Kali terakhir Melaka mencatat satu digit ialah pada 3 Januari lalu dengan hanya merekodkan enam kes.

Mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, lapan kes positif hari ini disumbangkan oleh dua kluster sedia ada iaitu Kluster Telok Emas yang merekodkan tujuh kes baharu membabitkan tahanan dan baki satu lagi kes daripada Kluster Teknologi Lot Enam.

“Sebanyak 52 kes sembuh dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan kes yang masih dirawat berkurangan kepada 198 pesakit secara keseluruhan.

“Daripada jumlah itu, lapan pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan penafasan,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, satu lagi kematian di Hospital Melaka direkodkan hari ini membabitkan lelaki berusia 81 tahun dari mukim Merlimau yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan jantung.

Ia kematian kedua berturut-turut direkodkan dalam tempoh dua hari menjadikan keseluruhan 20 kematian direkodkan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

371
Kongsi :
Previous post Semangat kesukarelaan tinggi perlu disemai dalam diri pegawai dan anggota APM
Next post Kes bunuh pengasas Ambank: Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati bekas pemandu trak tunda
Ubah saiz-+=