Sempat joli dadah sebelum nikah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 9 Mac – Sepasang kekasih muda tidak sempat meraikan perkahwinan mereka yang dijadualkan minggu hadapan apabila ditahan polis dalam satu serbuan dadah di sebuah hotel bajet di Masjid Tanah pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid, serbuan jam 1.15 pagi tadi dilakukan hasil maklumat awam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam hotel kemudian menjumpai dadah disyaki heroin seberat 16.24 gram dan 7.91 gram syabu di dalam sebuah beg kecil yang ditemukan di lubang saluran air di lantai bilik air hotel.

“Kita percaya, kesemua dadah itu cuba dibuang ke dalam lubang saluran air di lantai apabila lelaki berusia 21 tahun itu menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Siasatan awal dipercayai dia dan teman wanitanya berusia 18 tahun menjadikan hotel berkenaan sebagai tempat untuk membungkus dadah sebelum dijual di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri
Superintendan Zulkiflee Rashid Gambar fail

Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing juga mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis syabu manakala teman wanitanya negatif.

“Pasangan itu juga mendakwa akan melansungkan perkahwinan minggu depan dan siasatan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah,” katanya.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, Seksyen 39A (1) akta sama kerana memiliki syabu dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.

“Pihak polis sedang memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah reman ke atas pasangan kekasih itu hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post ‘Musang King’ ancam Empangan Durian Tunggal
Next post Penghapusan kelapa sawit Empangan Durian Tunggal selesai September ini
Ubah saiz-+=