Penghapusan kelapa sawit Empangan Durian Tunggal selesai September ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mac. – Penghapusan besar-besaran pokok kelapa sawit di sekitar tanah rizab Empangan Durian Tunggal yang mula dilaksanakan Jun tahun lalu dijangka selesai pada September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasil lawatannya hari ini mendapati proses mematikan pokok kelapa sawit menggunakan kaedah suntikan di tanah seluas 135.18 hektar itu kini menunjukkan tanda positif.

SULAIMAN..penghapusan pokok kelapa sawit di sekitar tanah rizab Empangan Durian Tunggal yang mula dilaksanakan Jun tahun lalu dijangka selesai September depan.

Beliau berkata, penghapusan itu dilakukan memandangkan pokok kelapa sawit memerlukan air yang banyak dan didapati tidak sesuai ditanam di kawasan tadahan air.

Ujarnya, selepas kerja-kerja pembersihan tanah selesai dijalankan, Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka bersama-sama Jabatan Perhutanan akan memulakan proses penanaman pokok hutan di kawasan terbabit.

“Kerja-kerja penanaman pokok hutan ini juga akan melibatkan kerajaan negeri dan persekutuan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Buat masa ini, kawasan yang dijangka akan dihutankan semula adalah seluas 50 hektar,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman memaklumkan situasi semasa paras air di Empangan Durian Tunggal kini merekodkan pertambahan 0.8 meter setakat ini berikutan hujan lebat yang melanda negeri dua hari lalu.

Beliau bagaimanapun menyeru orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembaziran dalam tempoh dua bulan ini bagi memastikan kesinambungan bekalan air di negeri ini.

“Kalau hendak membasuh kereta, menyiram tanaman dan sebagainya, gunakan air secara minimum dan berhemah bagi memastikan tiada catuan perlu dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Sempat joli dadah sebelum nikah
Next post PWTP, ‘talian hayat’ atasi masalah air mendesak di Melaka
Ubah saiz-+=