PWTP, ‘talian hayat’ atasi masalah air mendesak di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Mac – Melaka menerima lima unit ‘Portable Water Treatment Plant’ (PWTP) atau loji rawatan air mudah alih bernilai RM2.25 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menangani isu kekurangan air mendesak di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, PWTP bernilai RM450,000 setiap satu itu boleh menampung 120,000 liter air dan boleh memanfaatkan seramai 8,000 pengguna sehari.

Jelasnya, sekiranya terdapat keperluan mendesak, PWTP berkenaan boleh digerakkan di kawasan-kawasan terjejas dengan masalah air untuk kegunaan penduduk sekitar.

“PWTP ini boleh dibawa ke mana-mana dan ia digunakan bukan sahaja ketika berlakunya musim kering, tetapi juga boleh digerakkan sekiranya sesuatu kawasan itu terputus bekalan air disebabkan kerosakan paip dan sebagainya.

“Sistem itu akan menggunakan proses ‘reverse osmosis’ atau penyulingan air untuk membekalkan air bersih di kawasan yang terjejas.

“Bagaimanapun, ia hanya boleh diletakkan di kawasan berhampiran sumber air seperti sungai dan empangan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas majlis simbolik penyerahan PWTP di Empangan Durian Tunggal, hari ini.

Sulaiman berkata, PWTP itu juga merupakan satu daripada pelan kontingensi awal kerajaan negeri dalam berdepan cuaca panas yang melanda negeri ini khususnya.

“Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada NADMA yang telah menyediakan peruntukan khas untuk membantu masalah kekuarangan air di negeri ini.

“Saya bagaimanapun berharap keadaan seperti mana Januari tahun lalu hingga memaksa kita melakukan catuan bekalan air, tidak akan berulang di masa akan datang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1085
Kongsi :
Previous post Penghapusan kelapa sawit Empangan Durian Tunggal selesai September ini
Next post Kaji dulu sebelum kongsi pendapat di media sosial – Khaidirah
Ubah saiz-+=