Seorang maut, tiga kru kapal kritikal terhidu gas amonia

0
521
PENGARAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim. Foto Astro Awani.

SHAH ALAM 7 April. – Seorang kru kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) warga Turki maut manakala tiga lagi kritikal dipercayai akibat terhidu gas ammonia yang bocor dari kapal di perairan antarabangsa di Barat Pelabuhan Klang, dekat sini, malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor Komander Maritim Norihan Ngah dalam kenyataan hari ini berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam dan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan dari sebuah agen perkapalan kira-kira 11 malam.

Katanya susulan itu, pihaknya menggerakkan anggota APMM Selangor bersama-sama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia sekitar 3 pagi tadi ke lokasi kapal tangki itu MV Hamburg DW yang bersauh di Barat Daya Pulau Selat Kering, untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

“Lelaki berusia itu 62 tahun itu meninggal dunia di kapal tangki berkenaan manakala tiga lagi mangsa, dua warga Turki dan seorang warga India berumur 28 hingga 50 tahun selamat, namun berada dalam keadaan kritikal.

“Punca kecederaan mereka semua adalah akibat terhidu gas ammonia. Dipercayai kebocoran gas berlaku pada kapal tangki tersebut,” katanya.

Norihan berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kejadian kepada Kementerian Kesihatan dan pasukan Polis Diraja Malaysia.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.