Sesi persekolahan Rabu ini hanya untuk calon peperiksaan utama bagi 2020

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon peperiksaan utama bagi 2020.

KPM dalam kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perbincangan diadakan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan jumlah kes jangkitan COVID-19 pada hari dan trend kes yang semakin meningkat kebelakangan ini.

“Susulan perbincangan itu, KPM memutuskan sesi persekolahan pada 20 Januari ini hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

“Selain itu, pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai Rabu ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, memandangkan ada murid mula mendaftar masuk hari ini susulan arahan terdahulu, KPM memutuskan beberapa ketetapan.

Katanya, pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekolah berasrama penuh boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau di rumah.

“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang
pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Bagi pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6 akan mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan,” katanya.

KPM menjelaskan bagi pelajar Tingkatan 1, 4 dan 5 di asrama sekolah harian
pula boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah.

“Mereka juga boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak
sekolah,” katanya.

Menurut KPM lagi, bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru perlu kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

“Guru terbabit kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM (2020) perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.

“Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh ketua jabatan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Kolej Matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing
untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

“Semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.

“Pelajar yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing.

“PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai esok. Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, KPM juga memutuskan semua tadika swasta yang berdaftar dengannya boleh terus beroperasi secara bersemuka.

“KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri,” katanya.

Views:

1220
Kongsi :
Previous post RM45 juta dari Tabung COVID-19 diagihkan
Next post ‘Sireh pulang ke gagang’
Ubah saiz-+=