Sheng Tai International labur RM8 juta sedia ruang kerja fleksibel

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Sheng Tai International Sdn Bhd membuat pelaburan RM8 juta bagi menyediakan ruang kerja fleksibel melibatkan tiga pusat hartanah komersial di negeri ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Tyson See berkata, kewujudan ruang kerja fleksibel itu sekali gus menjadikan Melaka sebagai hub perniagaan untuk menarik kehadiran pelancong luar.

“Lokasi pertama adalah di Metrasquare di bawah jenama Regus yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, diikuti di The Sail Kota Laksamana pada 2025, manakala lokasi ketiga belum ditentukan dan bergantung kepada permintaan.

“Francais yang kita tandatangani hari ini untuk tiga tempat di Melaka sebagai permulaan, kalau ada permintaan tinggi kita akan buka lima atau 10 ruang kerja fleksibel lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Francais Sheng Tai International di Hotel Ames, hari ini.

MOHD Ali memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis.

Majlis tersebut disaksikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley; Ketua Pembangunan Perkongsian IWG Malaysia IWG, D. Premita dan lain-lain kenamaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang mempunyai hub antarabangsa.

MOHD Ali bergambar bersama selepas majlis tersebut.

“Sebab itu kita ada projek The Sail sebagai bangunan yang ikonik untuk menarik pelawat dari luar negara datang sekali gus menjayakan ekonomi di Melaka.

“Konsep ruang kerja fleksibel ini sangat popular…kita tak perlu labur wang yang banyak untuk buka satu pejabat, hanya perlu langgan sebagai ahli dengan sedikit bayaran dan boleh nikmati fasiliti disediakan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Sheng Tai International adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menyediakan ruang kerja global terbesar di dunia, International Workplace Group plc (IWG) dengan jenama Regus dan Spaces.

Sheng Tai International menjadi rakan kongsi pertama IWG sejak ia membuka peluang francais di negara ini pada tahun 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1041
Kongsi :
Previous post PKPD di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, dilanjutkan hingga 2 April
Next post RM21 juta pembiayaan AGRO-YES untuk anak muda
Ubah saiz-+=