Sidang DUN: 45 ‘hotspot’ baharu banjir dikesan, Melaka laksanakan projek mitigasi tahun depan

SERI NEGERI 13 Disember – Projek mitigasi banjir akan dilaksanakan di 45 lokasi panas atau ‘hotspot’ baharu pada tahun hadapan bagi menangani bencana itu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata 45 hotspot itu dikenal pasti berdasarkan kepada aduan dan maklumat disalurkan agensi yang berkaitan.

Katanya, hasil aduan, pengamatan dan pemerhatian agensi pihaknya mengenal pasti 14 hotspot baharu iaitu lapan di Melaka Tengah, Alor Gajah (4) dan Jasin (2) yang perlu diselesaikan (dengan pelaksanaan projek mitigasi banjir).

“Namun berdasarkan maklumat daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Melaka ada 31 lagi hotspot lain di negeri ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 45,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan lisan dikemukakan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada persidangan itu.

Jelasnya sepanjang tahun ini pihaknya turut melaksanakan projek penyelesaian jangka pendek menggunakan peruntukan hampir RM70 juta di 124 hotspot.

“Projek mitigasi banjir di 124 hotspot berkenaan menggunakan peruntukkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Ada yang sudah selesai dan ada yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, projek penyelesaian jangka pendek itu turut membabitkan pemasangan peralatan teknikal.

Dia memberitahu antara peralatan yang digunakan adalah 51 unit ‘rainfall station’ atau stesen telemetri di seluruh Negeri Melaka.

Selain itu katanya turut dipasang 32 ‘water level station’, empat ‘soil moisture station’ bagi mengukur kelembapan tanah, 15 siren, 10 ‘webcam’ atau kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemerhatian selain sistem skala berkaitan dengan aras air.

“Dengan bantuan teknikal ini, kita boleh mengenal pasti dengan lebih awal aliran air, mengurus dan menangani pembukaan pintu air.

“Pembukaan pintu air ini telah ditetapkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Melaka, hanya JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sahaja yang boleh mengeluarkan arahan dan agensi lain yang menjaga pintu air ini mesti patuh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Previous post Sidang DUN: Karnival Kerjaya ‘jentera’ basmi pengangguran
Next post Bapa disyaki tanam anak tepi jalan selepas dera sehingga mati