Sorting by

×

Sidang DUN Melaka penggal keempat dibuka tirai secara rasmi

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

SERI NEGERI 20 Sept – Persidangan pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 membuka tirai secara rasmi di Seri Negeri, hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Terdahulu, Mohd Ali tiba di pekarangan Seri Negeri pada jam 9.15 pagi.

Ketibaannya disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad.

TETAMU yang hadir perlu mendaftar di kaunter pendaftaran, pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di di bangunan Bentara, Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Alunan lagu Negaraku dan Melakaku Maju Jaya dipersembahkan oleh pasukan pancaragam sewaktu ketibaan Mohd Ali.

Beliau kemudiannya berarak masuk ke Dewan Undangan Negeri dan menyampaikan ucapan pembukaan persidangan pada jam 9.50 pagi.

Majlis bersurai kira-kira jam 11 pagi selepas sesi bergambar.

Sidang DUN kali ini berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan akan berakhir pada Khamis (23 September).

ANGGOTA polis mengawal pintu masuk DUN Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di bangunan Bentara, Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Buat julung kalinya, persidangan kali ini diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan semua yang terlibat dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 setiap hari.

Selain itu, tempoh masa bagi persidangan kali ini juga dihadkan kepada empat jam setiap hari iaitu bermula pada jam 9.30 pagi hingga 1.30 tengah hari.

Turut berlaku perubahan kedudukan barisan ADUN yang kini ditempatkan di tempat duduk ketua jabatan di bahagian atas dewan (kanan bagi ADUN kerajaan dan kiri bagi ADUN pembangkang) bagi mematuhi penjarakan yang ditetapkan.

Difahamkan, terdapat 109 soalan lisan dan 164 soalan bertulis telah dikemukakan bagi persidangan kali ini selain terdapat dua usul dibawa kerajaan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post Pantau dan bendung penyebaran ajaran sesat- TYT
Next post Pastikan perancangan dibuat mengikut lapan ‘flagship’ – TYT
Ubah saiz-+=