Sindiket seludup kereta mewah, minuman keras, rokok bernilai RM5.84 juta tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 14 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menumpaskan kegiatan penyeludupan kereta mewah, minuman keras dan rokok bernilai RM5.84 juta pada awal tahun ini.

Pengarah Kastam Negeri, Nadzri Che Ani berkata rampasan barang terbabit dilakukan dalam enam serbuan berasingan di Melaka, Selangor dan Johor.

Katanya daripada enam serbuan terbabit tiga suspek ditahan melibatkan seorang wanita berusia 30an dan dua lelaki berusia 50an.

“Dalam serbuan di Melaka pada 2 Januari, sebuah premis kediaman diserbu, seorang lelaki berusia 50an ditahan dan merampas sejumlah 3,026.88 liter minuman keras membabitkan jumlah RM120,514.13.

“Manakala dalam serbuan di Klang, Selangor pada 18 Januari lalu melibatkan rampasan sebuah lori yang diisi muatan minuman keras sejumlah 2,905.44 membabitkan jumlah RM174,627.35,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Whatsapp Image 2024 02 14 At 14.30.34 0ea70516
Sebuah kereta mewah jenama Porsche Panamera yang diseludup masuk dari negara jiran bernilai RM286,000 termasuk duti dan cukai antara yang disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia Melaka pada enam serbuan berasingan pada Januari lalu

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut mematahkan aktiviti penyeludupan kereta mewah jenama Porsche Panamera yang dipercayai diseludup dari Singapura membabitkan nilai termasuk duti dan cukai berjumlah RM286,000 di sebuah premis kediaman di Jasin.

“Kereta tersebut disembunyikan dalam kawasan premis yang berpagar dan kenderaan terbabit telah disita serta siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik premis dan kereta terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzri turut memaklumkan pihaknya merampas aktiviti penyeludupan rokok pelbagai jenama dalam serbuan pada 24 hingga 29 Januari lalu.

Jelasnya, dalam serbuan pertama di Bertam Ulu, Alor Gajah, kejayaan pihaknya berjaya menumpaskan sindiket rokok seludup pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan termasuk duti dan cukai bernilai RM5,257,817.62 dan seorang wanita berusia 30an turut ditahan.

“Manakala dalam serbuan kedua, cubaan sebuah lori seludup rokok di daerah Kluang, Johor gagal selepas menemukan sejumlah 2,780,000 batang rokok melibatkan nilai termasuk duti dan cukai berjumlah RM2,225,300 dan seorang lelaki berusia 50 tahun turut ditahan.

“Dalam serbuan ketiga membabitkan rampasan sejumlah 3,810,000 batang rokok pelbagai jenama membabitkan nilai RM2,849,880 di sebuah gudang di kawasan perindustrian Ulu Tiram, Johor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post ‘Nak bawa lebih ramai ahli keluarga 20 Feb ini’
Next post Wanita cedera diserang dua lelaki bersenjatakan pedang samurai
Ubah saiz-+=