Wanita cedera diserang dua lelaki bersenjatakan pedang samurai

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 14 Februari – Seorang wanita cedera di tangan akibat terkena pedang samurai selepas didatangi dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi itu, kereta wanita itu dihalang oleh sebuah lagi kereta jenis BMW di hadapan kedai dobi berkenaan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, susulan itu dua lelaki turun bersenjatakan pedang samurai daripada kereta mewah berkenaan dan menghampiri kereta dipandu wanita berusia 36 tahun itu.

Katanya, dua lelaki terbabit memecahkan tingkap hadapan, tingkap kanan dan kiri sehingga terkena tangan pengadu.

“Mangsa kemudian mengundurkan keretanya dan terlanggar sebuah lagi kereta yang diparkir di tepi jalan sebelum melarikan diri menghala ke Balai Polis Masjid Tanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan siasatan lanjut, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Masjid Tanah dan memaklumkan dia tidak mengenali kedua-dua lelaki terbabit serta tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa sejak kebelakangan ini.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah namun dirujuk ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan barangan peribadi mahupun berharga,” katanya.

Dalam pada itu, Zainol berkata sebuah lagi kereta Proton Saga berwarna coklat kelabu turut mengalami kerosakan pada pintu hadapan kiri dan kanan serta cermin hadapan selain kesan langgar di bahagian belakang ketika mangsa cuba melarikan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 06-5562222,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang individu berdepan detik cemas apabila dipercayai menjadi mangsa samun di sebuah premis di Masjid Tanah.

Insiden itu turut tular di media sosial dalam rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan dua lelaki bersejanta parang mendekati kereta dipandu individu terbabit sebelum mengundurkan kereta merempuh sebuah lagi kereta yang diparkir di tepi jalan.

Kedua-dua lelaki bertopeng itu kemudian dilihat menaiki sebuah kenderaan lain yang menunggu di bahu jalan dan bergerak ke arah bertentangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2931
Kongsi :
Previous post Sindiket seludup kereta mewah, minuman keras, rokok bernilai RM5.84 juta tumpas
Next post ‘Kereta ini bukan untuk dijual’
Ubah saiz-+=