‘Kereta ini bukan untuk dijual’

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 14 Februari – “Walaupun ramai yang minta saya jual kereta ini, tetapi saya tidak sesekali akan berbuat demikian dan akan menjaganya sampai akhir hayat.

“Inilah antara kenangan terindah yang akan terpahat di hati saya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” kata Mohd Shahizat Idris, 38.

Mohd Shahizat merupakan pengunjung paling bertuah apabila dipilih sebagai pemenang sebuah kereta Proton X70 1.5L bernilai RM98,800 sempena sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Sungai Melaka, 31 Disember lalu.

Lebih manis, namanya dipilih sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan pemimpin negeri itu sendiri membuat panggilan video memaklumkan kepadanya mengenai kemenangan itu.

Bercerita tentang detik bersejarah itu, Mohd Shahizat yang juga pekerja am sebuah hotel di Banda Hilir berkata, ketika namanya diumumkan dia sudah pun menaiki bas perantara untuk pulang ke rumah.

Namun dia terkejut apabila dihubungi Ketua Menteri, sebelum melompat kegembiraan sehingga mengejutkan orang ramai yang berada di dalam bas berkenaan.

“Ketika itu bas baru sahaja bergerak dan saya segera minta pemandu memberhentikan bas kerana saya mahu berjalan kaki untuk ke pentas utama semula.

“Jujurnya memang tiada niat untuk saya mahu menang sesuatu kerana saya sendiri tiba lewat ke lokasi iaitu pada jam 9.30 malam kerana saya bekerja sehingga jam 8 malam pada hari tersebut. Kira-kira jam 10.30 malam barulah saya dapat mengimbas pendaftaran saya hasil bantuan petugas.

“Jika diikutkan, niat asal saya datang hanyalah untuk menyokong acara anjuran Kerajaan Negeri dan paling penting mahu melihat lebih dekat penyanyi kesukaan saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tapi tak sangka pula rezeki saya menang kereta,” katanya.

Terdahulu, dia ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah sempena Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 & Ambang Tahun Baharu 2024 di Lobi Seri Negeri, di sini, yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari.

Menurut anak jati Bukit Rambai itu, dia sememangnya berhasrat mahu membeli kereta pada tahun ini, namun ternyata aturan Allah SWT lebih indah untuknya dan keluarga apabila menerima hadiah yang tidak disangka-sangka.

“Sebelum ini, kami sekeluarga hanya bergantung kepada satu kereta sahaja iaitu milik bapa saya. Jadi saya memang bercadang mahu membeli kereta baharu yang murah, tapi siapa sangka rezeki saya dapat kereta yang lebih baik dan ia diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahizat turut berharap agar Negeri Melaka dijadikan sebagai destinasi pelancongan wajib kepada orang ramai dari dalam dan luar negara.

Katanya, selain kepelbagaian produk pelancongan, Kerajaan Negeri turut menyediakan lapan buah kereta dan 20 buah motosikal sebagai hadiah untuk pengunjung dan pelancong bertuah.

“Kepada orang Melaka sendiri juga kita boleh tunjukkan sokongan dengan melawat ke destinasi percutian yang ada kerana selain bercuti, kita juga berpeluang menangi hadiah yang disediakan. Manalah tahu jika rezeki anda pula untuk menang kereta seperti saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3231
Kongsi :
Previous post Wanita cedera diserang dua lelaki bersenjatakan pedang samurai
Next post Cuti umum 20 Februari buka pintu rezeki untuk peniaga
Ubah saiz-+=