Sistem ‘Bed Management Unit’ diperluas secara berperingkat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 29 November – Sistem ‘Bed Management Unit’ (BMU) akan diperluaskan ke seluruh hospital awam di Negeri Melaka secara berperingkat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, BMU mampu meningkatkan lagi tahap pengurusan pesakit dan memendekkan tempoh mereka dirawat di wad.

Hee Sem berkata, setakat ini jumlah keseluruhan katil di wad hospital kerajaan dan swasta di Negeri Melaka adalah sebanyak 2,212.

“Sistem ini sudah terpakai di Hospital Melaka dan dirancang diperluaskan secara berperingkat di Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin.

“Setakat ini, nisbah katil hospital kepada penduduk di Melaka adalah 2:21, lebih baik berbanding purata nisbah peringkat kebangsaan iaitu 2.01 bagi setiap 1,000 penduduk. Nisbah katil di Negeri Melaka lebih baik berbanding nisbah katil peringkat kebangsaan.

“Kita juga sentiasa berhubung terus dengan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi memantau status penggunaan katil melalui ‘dashboard’ sistem dalam talian ‘Health Information System’ (HIS@KKM) dan Medical Program Information System (MPIS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain Hee Sem, menafikan dakwaan Hospital Melaka tidak melayan pesakit selain daripada penduduk negeri ini yang mahu mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini tular di media sosial kononnya Hospital Melaka tidak melayan pesakit dari Johor yang mahu mendapatkan rawatan. Perkara itu tidak berlaku.

“Malah Pengarah Hospital sudah cuba hubungi pengadu terbabit namun gagal. Suka saya nasihatkan kepada orang awam agar tidak menularkan sesuatu hal tanpa membuat laporan atau aduan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

693
Kongsi :
Previous post RM300,000 untuk Sukan Melaka 2024
Next post DUN Melaka lulus Bajet 2024
Ubah saiz-+=